Saturday 16 March 2013

AMANITA Diwujudkan Untuk Bantu PDRM






Muar, 16 Mac - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mewujudkan satu unit khas dikenali sebagai Amanita dalam usaha mendapatkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang tidak dilapor di kalangan masyarakat.


Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) PDRM Datuk Ayub Yaakob berkata unit itu mengiktiraf golongan suri rumah kadangkala mempunyai maklumat penting yang diperkatakan menerusi 'mesyuarat tingkap' mereka.


"Pendekatan kita kini adalah untuk memperoleh maklumat berkaitan jenayah yang tidak dilaporkan, sebagai suri rumah, mereka mengetahui banyak isu dan maklumat dikongsi sesama mereka melalui 'mesyuarat tingkap'. 


"Kadangkala ada maklumat jenayah yang mereka tahu daripada mulut ke mulut tetapi tidak dilaporkan atas sebab-sebab tertentu," katanya pada sidang akhbar selepas Program Bersama Banteras Jenayah anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddn Yassin merangkap Pengerusi MCPF hari ini.


Turut hadir Naib Pengerusi MCPF Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.


Ayub berkata Amanita akan dilancar tidak lama lagi dan untuk tujuan itu, seramai 152 pegawai wanita dikenal pasti untuk penglibatan dalam unit berkenaan.


Secara tidak langsung, beliau berkata langkah terbaharu yang dilakukan itu menunjukkan PDRM mengiktiraf peranan wanita dalam pelbagai sektor di negara ini, termasuk suri rumah yang membentuk modal insan di peringkat awal.


"Selama ini kita lihat wanita memainkan peranan penting dalam rumah tangga termasuk menjadi penasihat kepada suami sebelum mereka membuat keputusan.


"Kita yakin mereka juga dapat memainkan peranan dalam menjaga ketenteraman dan keamanan negara," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment