Saturday 16 March 2013

Piala Sultan Azlan Shah- Perlawanan Akhir Malaysia lwn Australia Malam Ini




IPOH: Malaysia layak buat kali keempat pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2013 selepas seri 2-2 dengan India pada perlawanan akhir pusingan awal di sini, malam Sabtu.

Malaysia akan berdepan dengan juara dunia Australia pada final, Ahad.

Australia menamatkan saingan pusingan awal dengan rekod tanpa kalah apabila menungguli kedudukan dengan 11 mata manakala Malaysia turut mengekalkan rekod tanpa kalah dengan mengutip sembilan mata di tangga kedua.


Malaysia, yang tidak pernah menjuarai kejohanan ini sejak 1983, kali terakhir kalah kepada Australia 3-1 pada final edisi 2007.

Kali terakhir Malaysia ke final ialah pada 2009 apabila kalah 3-1 kepada India dan tahun lepas menduduki tangga keenam daripada tujuh pasukan.

Selepas Australia mengesahkan tempat ke final dengan mengalahkan juara bertahan New Zealand 3-2, kedudukan Malaysia sudah terjamin namun anak buah Paul Revington tetap mempamerkan aksi cemerlang menentang India.

Pasukan yang diketuai Mohd Shahrun Nabil mendahului perlawanan seawal minit keenam menerusi Faisal Saari yang menyempurnakan pukulan sudut penalti.

India bagaimanapun seolah-olah tidak membenarkan Malaysia melalui jalan yang mudah apabila menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mandeep Singh pada minit ke-20.

Persembahan pada separuh masa kedua, pasukan negara dilihat dapat menyerap paluan gendang, sorakan serta nyanyian semangat sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi lebih 12,000 penonton yang memenuhi setiap ruang Stadium Azlan Shah di sini.

Malaysia kemudian dilihat mengendurkan serangan ke atas pintu gawang pasukan India yang dketuai Danish Mujtaba apabila tidak banyak melakukan percubaan berbahaya berbanding pada separuh masa pertama.

Gol daripada Rupinder Pal Singh yang menyempurnakan pukul sudut penalti pada minit ke-48 menggegarkan gawang Malaysia yang dikawal S.Kumar, sekali gus meletakkan anak buah Nobbs Michael Jack di hadapan.

Dua minit sebelum perlawanan tamat, pasukan negara diberikan pukulan sudut penalti, bagaimanapun ia disia-siakan.

Sejurus selepas itu Malaysia diberikan pukulan penalti dan berlaku pertikaian daripada pemain India.

Faisal Shaari akhirnya memuktamadkan rekod tanpa kalah pasukan negara menerusi pukulan penalti selepas pengadil Lim Jung Woo dari Korea ZSelatan tetap dengan keputusan berkenaan dan ia membuatkan penjaga gol India, Sushat Singh tersungkur.

Pada sidang media selepas perlawanan tamat, Revington berkata anak buahnya memperlihatkan peningkatan dalam permainan dan India juga mempamerkan saingan yang baik.

Bagi perlawanan pada Ahad, katanya sudah tentu ia satu perlawanan yang sukar memandangkan Australia berada di ranking kedua dunia manakala Malaysia di tangga ke-13, bagaimanapun pasukannya akan mempamerkan usaha dan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi.

Bagi Faisal pula berjanji beliau dan seluruh pasukan negara akan mengawal permainan sebaik mungkin dan mahu penyokong memberikan sokongan tidak berbelah bahagi untuk menjuarai kejohanan itu buat kali pertama menerusi final pada malam Ahad.

No comments:

Post a Comment