Friday 1 March 2013

SEDIH, PILU DAN SAYU MENYELUBUNGI SELURUH NEGARA.... AL-FATIHAH KEPADA WIRA NEGARA!!!

Suasana pilu dan sayu menyelubungi seluruh Negara ketika ini. Berita rasmi daripada PDRM sebentar tadi telah mengesahkan bahawa jenazah WIRA NEGARA yang terkorban dalam mempertahankan kedaulatan negara akan dibawa pulang awal pagi esok. 




"Tiada perkataan diucapkan, hanya tangisan yang saya dengar daripada menantu saya ketika saya menghubunginya petang tadi," kata Khatijah Ismail, ibu kepada anggota komando polis yang terkorban dalam kejadian tembakan dengan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah hari ini.






Khatijah, 64, berkata beliau menghubungi menantunya yang tinggal di Ipoh itu apabila diminta berbuat demikian oleh seorang anak saudaranya untuk mendapatkan berita lanjut mengenai kejadian itu.


Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi ini, Insp Zulkifli Mamat, 30, adalah antara anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam kejadian tembakan yang turut membunuh 12 penceroboh bersenjata rakyat asing itu.

Khatijah, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Ikan dekat Gong Bayor di sini, berkata beliau mendapat perkhabaran sedih itu ketika mengikuti satu program di kampungnya kira-kira pukul 4 petang.

"Ketika itu Mak Cik sedang mengikuti satu program kemasyarakatan apabila saya dipanggil oleh seorang anak saudara yang menyuruh saya menelefon isteri arwah di Perak untuk mengetahui berita lanjut," katanya.

Khatijah berkata beliau terus menghubungi isteri arwah, Noraziah Nor, 29, yang merupakan seorang guru di Ipoh, tetapi tidak mendengar sebarang suara daripadanya kecuali tangisan.

"Bila saya mendesak, dia (Noraziah) memberitahu suaminya telah terkorban dalam insiden serangan di Lahad Datu. Mak cik terkejut dan terus rebah pengsan," katanya.

Khatijah memberitahu bahawa anak ketiga daripada enam beradik itu menyertai perkhidmatan polis kerana amat berminat dengan kerjaya yang memakai uniform sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Zulkifli adalah graduan Universiti Malaya dan berkahwin dengan Noraziah yang berasal dari Perlis. Pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki berumur lima dan satu tahun dan Noraziah kini mengandung anak ketiga.

"Zulkifli seorang anak yang baik dan bersopan santun serta amat mesra dengan adik-beradik," kata Khatijah.

Khatijah berkata sebelum bertolak ke Lahad Datu Jumaat lepas, arwah menghubunginya dan meminta Khatijah mendoakan keselamatannya dan berharap ibunya tidak bimbang.
Beri
Turut hadir menziarah ibu Zulkifli di rumahnya petang ini ialah Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Mohd Jamil. 



No comments:

Post a Comment